Stadium Merdeka - 6 April 1980
BAKRI Ibni dan James Wong terlebih dahulu berlari masuk ke dalam kotak penalti menanti tendangan percuma yang diambil oleh Shukur Salleh. Bola dihantar tinggi kepada James, oh tidak James gagal menanduk bola itu, begitu juga pemain-pemain Korea Selatan... Bakri mengambil kesempatan mendapatkan bola... begitu tenang Bakri mengawal bola, pada masa yang sama penjaga gol Korea Selatan sudah keluar dari gawang gol untuk menerpa bola yang dibawa oleh Bakri. Dengan mudah Bakri membuat tendangan lencong (banana kick) menewaskan penjaga gol musuh, dan...
GOLLLLLLLLLLLLLLLL!!!
Utusan Karya – Penghujung Oktober 2011
LEWAT petang, datang seorang lelaki bekas pekerja Utusan Karya bersama rakannya. Dia memperkenalkan rakannya kepada penulis.
Setelah memperkenalkan diri, barulah penulis terperanjat. Ohhh... inilah rupanya Bakri Ibni, salah seorang ‘hero’ skuad pasukan bola sepak negara era 70-an yang telah berjaya melakarkan nama Malaysia ke persada Sukan Olimpik pada tahun 1980.
Ya, Bakri Ibni, salah seorang hero yang telah berjaya menyumbat gol pertama Malaysia seterusnya membawa detik-detik kemenangan kepada pasukan negara. Ya, Bakri Ibni masih ingat detik-detik yang sungguh indah itu.
“Pada masa itu, Malaysia telah mendapat tendangan percuma dari luar kotak penalti di sebelah kanan. Tendangan telah diambil oleh Shukur Salleh. Bola tinggi menuju ke arah James. Pada masa itu James dikawal ketat oleh beberapa pemain pertahanan Korea Selatan.
“James gagal menanduk bola yang dihantar oleh Shukur Salleh. Pada masa yang sama Bakri yang berada berdekatan sudah membaca keadaan itu akan berlaku dan mengambil kesempatan membawa bola dengan tenang dan terus membuat tendangan lencong melepasi penjaga gol Korea selatan,” imbau Bakri Ibni lagi.
Ketika itu bek kanan Korea Selatan berlari ke arah gawangnya sendiri untuk cuba mengeluarkan bola hasil sepakan Bakri Ibni, namun segala-galanya sudah terlewat. Lines man Teguh dengan pendiriannya, dan pengadil meniup wisel petanda gol pertama Malaysia.
Pasukan Korea Selatan cuba membantah gol itu yang dianggap tidak sah kerana mendakwa bola masih belum melepasi garisan gol, namun penjaga garisan teguh dengan keputusannya.
Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kim Gang-nan pada minit ke-58 sebelum gandingan Hassan dan James menggamatkan puluhan ribu penyokong Malaysia di Stadium Merdeka bersorak kegembiraan pada malam tersebut dengan tambahan satu gol lagi.
Malam itu Malaysia telah berjaya menewaskan Korea
Selatan 2-1. Ini bermakna harapan Malaysia mengorak langkah ke persada Sukan Olimpik terserlah.
Skuad negara bimbingan Karl Heinz-Weigang dan dibantu oleh Ahmad Bakar pada peringkat kumpulan turut menewaskan Korea dengan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, membelasah Filipina 8-0 dan membaham Indonesia 6-1.
Kali ini Bakri dan skuad kebangsaan berazam untuk beraksi dengan penuh cemerlang bagi menebus kehampaan pada tahun 1972, semasa Malaysia beraksi di Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Ketika itu, pasukan bola sepak kita hanya sekadar berjuang pada peringkat saringan pertama saja.
Pada masa itu, Bakri Ibni dan kawan-kawan seangkatannya berasa sungguh gembira dan bersemangat untuk melakar nama Malaysia di peta dunia.
Ikutkan hatinya, seluruh dunia hendak dikhabarkan bahawa pasukan Malaysia hebat, setanding dengan pasukan terkenal Olimpik ketika itu.
Mana tidaknya itulah kali kedua negara kita dapat melayakkan ke peringkat Olimpik di Moscow selepas Munich 1972.
Namun harapan Bakri dan skuad kebangsaan juga tidak kesampaian apabila kerajaan Malaysia memboikot Sukan Olimpik 1980, membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Tempat Malaysia digantikan oleh Iraq.
Biarpun hajat Bakri Ibni dan pemain bola sepak negara terkubur untuk beraksi di Sukan Olimpik, namun mereka telah dihidangkan dengan lawatan menjelajah dunia termasuk ke New York, Switzerland dan Jerman.
Paling menarik ketika Bakri Ibni dan skuad kebangsaan berada di Jerman, jurulatih Weigang telah mengaturkan satu perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab amatur Divisyen pertama Bundes Liga di Frankfurt.
Sebelum perlawanan Weigang telah mencabar pasukan Malaysia. Katanya, kalau boleh menang dengan jurang 11 gol, dia akan belanja makan di luar. Sebaik mendahului 9-0, pemain utama telah dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lebih junior seperti Wan Jamak Hassan, Zulkifli Hamzah,Ramli Jamid dan ramai lagi.
Sepuluh minit berbaki, jumlah jaringan masih tidak berubah dan entah kenapa, Weigang memasukkan semula Soh Chin Aun untuk bermain sebagai penyerang.
“Ternyata Tauke (Soh Chin Aun) memang unggul dan hebat, dia tambah dua gol untuk menjadikan kedudukan 11-0,” cerita Bakri Ibni.
Di Zurich pula, pasukan kebangsaan bertemu dengan kelab profesional Liga Switzerland, Grasshoppers Football Club. Mereka menyangka Malaysia mudah untuk diratah, namun mereka tersilap. Selepas skuad negara mendahului 2-0 mereka mula menyedari kesilapan taktikal yang mereka atur. Perubahan strategi di pihak lawan membuahkan hasil. Perlawanan akhirnya berkesudahan seri 2-2.
***
BEGITULAH perjalanan karier bola sepak era Bakri Ibni. Entah bila lagi Malaysia dapat melakar nama di pentas Olimpik mahupun di Piala Dunia seperti mana era Bakri Ibni, James Wong, Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, mendiang R. Arumugam dan lain-lain lagi.
Kehebatan Bakri berserta teman-teman seperjuangannya pada era 70-an dan 80-an memang tidak tertanding, sehinggakan negara Jepun dan Korea Selatan yang sekarang ini menjadi pasukan rutin dalam Piala Dunia, dulunya menjadi ratahan skuad Malaysia.
Pada masa itu, pasukan bola sepak negara memperlihatkan satu peningkatan generasi pemain legenda, yang diketuai oleh penyerang kilat, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, pasangan pertahanan Santokh Singh dan Soh Chin Aun yang dulunya dikenali sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 70-an dan mendiang R. Arumugam yang digelar sebagai Spiderman kerana ketangkasannya menjaga gawang gol negara.
Pada sukan Olimpik tahun 1972, skuad negara kita terkenal dengan pemain ternama seperti Namat Abdullah dan Shaharuddin Abdullah, Wong Chun Wah,M.Chandran, wan Zawawi dan Wong Kee Kok.
Namun kini, kekuatan pasukan bola sepak negara kita telah merosot jauh, jatuh empat tahun ke belakang jika hendak dibandingkan dengan era 70-an dan 80-an dulu. Di dunia kedudukan ranking Malaysia adalah yang ke 155.
Kenapa jadi begitu, sedangkan pada era 70-an dulu pasukan negara kita bermain dalam serba kekurangan, tetapi mampu bermain dalam kelas dunia!
Baru-baru ini sekali lagi harapan kita untuk beraksi di persada Olimpik terserlah, namun masih juga kecundang. Skuad Harimau Muda masih tidak mampu menangkis serangan-serangan dari negara seperti Syria, Bahrain dan Jepun lantas melenyapkan impian kita melihat pasukan negara beraksi di Sukan Olimpik di London.
Jika diteliti, selepas 1980-an, pasukan bola sepak mula malap dan terus mengalami kejatuhan sehinggalah ke hari ini. Tidak tahulah apa puncanya? Di mana silapnya?
Walaupun kini Malaysia telah mencapat beberapa kemenangan seperti piala Suzuki AFF, pingat emas SEA Game, namun jika hendak dibandingkan pasukan yang ada sekarang dengan skuad era legenda dulu, masih banyak kelompangan dan ruang perbezaannya.
Bakri sendiri termenung apabila memikirkan senario yang berlaku dalam bola sepak negara sekarang. Memang Bakri teringin benar hendak melihat anak-anak muda negara kita dapat menjulang piala bola sepak bertaraf dunia.
Walaupun Bakri dan bekas pemain kebangsaan sudah tidak mampu melakukannya, namun jauh di sudut hatinya beliau masih menaruh harapan tinggi, generasi muda dapat meneruskan impian dan semangat Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik di Moscow 1980. Inilah dua detik bersejarah yang pernah melakar nama negara di peringkat dunia.
Impian Bakri, bukan sekadar menginginkan skuad negara menjulang piala bertaraf dunia, malah biarlah pasukan Malaysia tercatat sebagai sebuah pasukan elit di dunia setanding dengan negara penjajah yang pernah menakluki negara kita seperti Belanda, Portugal, Jepun dan England.
Jika hajat itu tercapai, Bakri boleh tersenyum puas melihat kejayaan pasukan Malaysia berdiri gagah di pentas dunia. Bagi Bakri, dia sudah merasai beraksi peringkat Olimpik, Piala Asia, Berley Cup dan Sukan ASEA.
Jadi sebagai langkah penyelesaian pembangunan bola sepak negara, renungkanlah pepatah yang diujarkan oleh Bakri Ibni ini.
“Kalau basikal rosak pergilah hantar ke bengkel basikal, kalau sakit pergilah berjumpa dengan doktor, tapi kalau masalah bola sepak, kepada siapa kita perlu berjumpa? Sudah tentulah kepada orang yang pakar dan berpengalaman dalam dunia bola sepak,” pesan Bakri Ibni.
Bakri yang memiliki kelayakan sijil diploma kejurulatihan dari England dan Jerman, dan juga mempunyai lesen kejurulatihan A dengan AFF mengharapkan masih ada cahaya di hujung terowong buat Malaysia.
Mungkin banyak ilmu yang boleh Bakri Ibni curahkan untuk memajukan bola sepak negara. Gunakanlah segala kepakaran yang dimiliki Bakri untuk menghasilkan pemain yang hebat.
Kalau disia-siakan segala kepakaran yang dimiliki Bakri, rugilah negara. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya tidak malu untuk mendapatkan khidmat pemain veteran seperti Bakri Ibni demi kemajuan bola sepak negara.
Bakri sendiri tidak jemu-jemu mengabdikan dirinya terhadap dunia bola sepak sejak dulu sampai sekarang. Sekarang Bakri sudah mewujudkan Akademi Bola Sepak yang diberi nama Tunas Legenda bagi membantu melatih bakat-bakat muda semata-mata ingin melihat ranking dan mutu bola sepak negara melonjak semula di dunia.
Pada hemat Bakri Ibni, beliau optimis dalam tempoh enam hingga tujuh tahun saja negara boleh menghasilkan pemain-pemain yang matang tanpa sebarang masalah.
“Ini tak mustahil, buktinya saya sendiri hanya mengambil masa enam tahun saja, sudah dipilih mewakili skuad negara!” akui Bakri Ibni.
Bagi Bakri Ibni, negara memiliki banyak bakat muda yang boleh diasuh dan diasah bagi membentuk skuad pelapis kebangsaan yang kuat dan digeruni asalkan berusaha meningkatkan pembangunan bola sepak bermula dari kanak-kanak lagi.
Apa yang penting bagi Bakri pemain perlu matang dalam setiap aspek, sama ada dari segi teknik,skil, taktik, strategi dan kemahiran dalam membuat keputusan.
“Jika semua ramuan ini kita ada, insya-Allah bukan setakat Piala Olimpik kita tawan, malah Piala Dunia pun kita mampu bawa balik ke Malaysia!” ucap Bakri Ibni optimis.
Ya, Mastika sokong perjuangan Bakri Ibni. Hidup Malaysia! Harap-harap Malaysia terus menjadi pasukan terunggul di peringkat dunia, Asia dan ASEAN seperti impian Bakri Ibni.
Sokonglah pasukan Malaysia!
No comments:
Post a Comment