Monday, 15 April 2013

Tengkorak Kristal

18EB41802D154A669DC4C0A6F596D77B
Pada 1 Januari 1924, seorang rakyat British bernama Anna Mitchell Hedges telah menemui satu tengkorak kristal di bawah altar sebuah kuil piramid di bandar tamadun Maya yang dikenali sebagai Lubaantun (bermaksud bandar dari reruntuhan batu dalam bahasa Maya).
Saiz tengkorak kristal tersebut sama seperti tengkorak manusia dan terbuat sepenuhnya daripada kuarza lutsinar.
Memandangkan kristal itu tiada kandungan karbon, tengkorak itu telah menjalani pelbagai ujian oleh saintis dari syarikat terkenal Hewlett-Packard. Hasil kajian telah mengejutkan para saintis. Seorang daripada saintis yang terlibat menyifatkan keputusan luar biasa itu dengan ungkapan, “Tengkorak ini sepatutnya tidak wujud!”
Dapatan yang mendedahkan bahawa tengkorak kristal hanya mampu dibuat menggunakan teknologi canggih adalah seperti berikut:
1. Sekumpulan saintis mendedahkan bahawa tengkorak itu terbuat daripada sebentuk kuarza yang dikenali sebagai silikon dioksida piezoelektrik yang digunakan dalam sektor telekomunikasi semasa dan memiliki satu kapasiti memori yang lebih tinggi daripada yang lain. Mikropemproses terkini juga terbuat daripada bahan yang sama. Namun hakikat yang lebih menarik adalah jenis kristal sedemikian baru ditemui pada abad ke-19.
2. Kristal silikon dioksida piezoelektrik ini mempunyai kedua-dua kutub negatif dan positif. Ini bermakna ia mampu menghasilkan elektrik sendiri sepertimana bateri lainnya.
3. Saintis menggunakan satu siri ujian lampu berkutub untuk membuktikan bahawa dua komponen berasingan iaitu bahagian kranium dan rahang bawahnya telah dibuat daripada satu blok batu kristal yang sama. Hakikat bahawa hampir mustahil untuk tengkorak itu diukir daripada satu blok kristal telah menghairankan para saintis kerana hablur kuarza lebih lembut dan rapuh berbanding berlian.
4. Melalui pemerhatian mikroskop, saintis mendapati bahawa tiada sebarang kesan penggunaan peralatan automatik moden atau peranti mekanikal pada tengkorak itu. Saintis menyimpulkan bahawa meskipun dengan bantuan alatan elektrik moden yang bermata berlian, mustahil untuk menghasilkan komponen halus dan indah seperti rahang bawahnya daripada sebentuk kristal tanpa memecahkannya.
5. Para saintis berpendapat bahawa tengkorak kristal ini mampu dihasilkan tanpa sebarang peralatan, hanya menggosokkannya dengan berlian, tetapi cara ini akan memerlukan usaha beberapa generasi dalam tempoh kira-kira 300 tahun.
e8c8d41de36. Kristal moden diukir di sekitar paksinya kerana mempunyai simetri molekul. Ia perlu dipotong sejajar dengan struktur semulajadinya, atau dalam erti kata lain simetri molekulnya agar kristal tidak pecah. Sekalipun teknik potongan laser berteknologi tinggi digunakan, kristal tetap akan hancur jika tidak dipotong mengikut paksi asalnya. Namun biarpun tengkorak kristal ini dipotong tanpa mengikut paksinya, tiada rekahan atau retakan yang timbul, bertentangan sekali dengan hukum fizik.
7. Saintis turut dikejutkan oleh ciri-ciri optik yang ada pada tengkorak. Melalui hasil ujian Hewlett-Packard, saintis menyedari bahawa tengkorak itu mempunyai sifat optik yang menarik. Cahaya yang dipancarkan dari bawah tengkorak biasanya terbias dalam semua arah, tetapi dalam tengkorak ini ia membentuk satu saluran yang bertumpu pada soket mata dan memancarkan cahaya.
8. Satu lagi ciri optik yang mengejutkan adalah prisma yang lebih rendah berbanding bahagian bawah belakang tengkorak tersebut. Semua sinaran cahaya yang menerangi soket mata terpancar dari prisma ini. Oleh itu, apabila anda melihat terus ke dalam soket matanya anda dapat melihat keseluruhan bilik di dalam mata tengkorak kristal.
Beberapa struktur yang masih mengelirukan teknologi masa kini seperti Stonehenge di England yang dibina 8,000 tahun lalu, piramid Mesir, motif haiwan berbentuk T yang diukir 11,000 tahun lalu pada Gobekli Tepe di Urfa, Turki dan Gerbang Matahari 10 tan yang diukir daripada satu blok batu, membuktikan bahawa orang-orang pada zaman purba tidak primitif dan kekurangan pemahaman seni, sains dan teknologi, sepertimana yang kadang-kadang dinyatakan. Evolusionis juga telah cuba menggunakan pemikiran evolusi dan songsang ke atas pelbagai cabang sains seperti biologi, paleontologi, dan zoologi termasuklah arkeologi. Namun tengkorak kristal yang merupakan tinggalan artifak masyarakat silam ini telah menyangkal secara saintifik tuntutan para evolusionis bahawa makhluk seperti beruk secara beransur-ansur telah berubah menjadi manusia moden.
setiap hari kehidupan kita tidak lekang dari pelbagai masalah. begitulah kehidupan kita selagi belum tiba ajal maut. nak tak nak, kita terpaksa tempuhi jua. apa pun halangan, rintangan, cubaan, anggaplah itu semua dugaan dari yang maha esa.

Tuesday, 14 February 2012

Suntik semangat Munich 1972 & Moscow 1980 Impian di hujung terowong Bakri Ibni


Stadium Merdeka - 6 April 1980

BAKRI Ibni dan James Wong terlebih dahulu berlari masuk ke dalam kotak penalti menanti tendangan percuma yang diambil oleh Shukur Salleh. Bola dihantar tinggi kepada James, oh tidak James gagal menanduk bola itu, begitu juga pemain-pemain Korea Selatan... Bakri mengambil kesempatan mendapatkan bola... begitu tenang Bakri mengawal bola, pada masa yang sama penjaga gol Korea Selatan sudah keluar dari gawang gol untuk menerpa bola yang dibawa oleh Bakri. Dengan mudah Bakri membuat tendangan lencong (banana kick) menewaskan penjaga gol musuh, dan...
GOLLLLLLLLLLLLLLLL!!!

Utusan Karya – Penghujung Oktober 2011

LEWAT petang, datang seorang lelaki bekas pekerja Utusan Karya bersama rakannya. Dia memperkenalkan rakannya kepada penulis.
Setelah memperkenalkan diri, barulah penulis terperanjat. Ohhh... inilah rupanya Bakri Ibni, salah seorang ‘hero’ skuad pasukan bola sepak negara era 70-an yang telah berjaya melakarkan nama Malaysia ke persada Sukan Olimpik pada tahun 1980.
        Ya, Bakri Ibni, salah seorang hero yang telah berjaya menyumbat gol pertama Malaysia seterusnya membawa detik-detik kemenangan kepada pasukan negara. Ya, Bakri Ibni masih ingat detik-detik yang sungguh indah itu.
“Pada masa itu, Malaysia telah mendapat tendangan percuma dari luar kotak penalti di sebelah kanan. Tendangan telah diambil oleh Shukur Salleh. Bola tinggi menuju ke arah James. Pada masa itu James dikawal ketat oleh beberapa pemain pertahanan Korea Selatan.
“James gagal menanduk bola yang dihantar oleh Shukur Salleh. Pada masa yang sama Bakri yang berada berdekatan sudah membaca keadaan itu akan berlaku dan mengambil kesempatan membawa bola dengan tenang dan terus membuat tendangan lencong melepasi penjaga gol Korea selatan,” imbau Bakri Ibni lagi.
Ketika itu bek kanan Korea Selatan berlari ke arah gawangnya sendiri untuk cuba mengeluarkan bola hasil sepakan Bakri Ibni, namun segala-galanya sudah terlewat. Lines man Teguh dengan pendiriannya, dan pengadil meniup wisel petanda gol pertama Malaysia.
Pasukan Korea Selatan cuba membantah gol itu yang dianggap tidak sah kerana mendakwa bola masih belum melepasi garisan gol, namun penjaga garisan teguh dengan keputusannya.
Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kim Gang-nan pada minit ke-58 sebelum gandingan Hassan dan James menggamatkan puluhan ribu penyokong Malaysia di Stadium Merdeka bersorak kegembiraan pada malam tersebut dengan tambahan satu gol lagi.
Malam itu Malaysia telah berjaya menewaskan Korea
Selatan 2-1. Ini bermakna harapan Malaysia mengorak langkah ke persada Sukan Olimpik terserlah.
Skuad negara bimbingan Karl Heinz-Weigang dan dibantu oleh Ahmad Bakar pada peringkat kumpulan turut menewaskan Korea dengan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, membelasah Filipina 8-0 dan membaham Indonesia 6-1.
Kali ini Bakri dan skuad kebangsaan berazam untuk beraksi dengan penuh cemerlang bagi menebus kehampaan pada tahun 1972, semasa Malaysia beraksi di Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Ketika itu, pasukan bola sepak kita hanya sekadar  berjuang pada peringkat saringan pertama saja.
Pada masa itu, Bakri Ibni dan kawan-kawan seangkatannya berasa sungguh gembira dan bersemangat untuk melakar nama Malaysia di peta dunia.
Ikutkan hatinya, seluruh dunia hendak dikhabarkan bahawa pasukan Malaysia hebat, setanding dengan pasukan terkenal Olimpik ketika itu.
Mana tidaknya itulah kali kedua negara kita dapat melayakkan ke peringkat Olimpik di Moscow selepas Munich 1972.
Namun harapan Bakri dan skuad kebangsaan juga tidak kesampaian apabila kerajaan Malaysia memboikot Sukan Olimpik 1980, membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Tempat Malaysia digantikan oleh Iraq.
Biarpun hajat Bakri Ibni dan pemain bola sepak negara terkubur untuk beraksi di Sukan Olimpik, namun mereka telah dihidangkan dengan lawatan menjelajah dunia termasuk ke New York, Switzerland dan Jerman.
Paling menarik ketika Bakri Ibni dan skuad kebangsaan berada di Jerman, jurulatih Weigang telah mengaturkan satu perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab amatur Divisyen pertama Bundes Liga di Frankfurt.
Sebelum perlawanan Weigang telah mencabar pasukan Malaysia. Katanya, kalau boleh menang dengan jurang 11 gol, dia akan belanja makan di luar. Sebaik mendahului 9-0, pemain utama telah dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lebih junior seperti Wan Jamak Hassan, Zulkifli Hamzah,Ramli Jamid dan ramai lagi.
Sepuluh minit berbaki, jumlah jaringan masih tidak berubah dan entah kenapa, Weigang memasukkan semula Soh Chin Aun untuk bermain sebagai penyerang.
“Ternyata Tauke (Soh Chin Aun) memang unggul dan hebat, dia tambah dua gol untuk menjadikan kedudukan 11-0,” cerita Bakri Ibni.
Di Zurich pula, pasukan kebangsaan bertemu dengan kelab profesional Liga Switzerland, Grasshoppers Football Club. Mereka menyangka Malaysia mudah untuk diratah, namun mereka tersilap. Selepas skuad negara mendahului 2-0 mereka mula menyedari kesilapan taktikal yang mereka atur. Perubahan strategi di pihak lawan membuahkan hasil. Perlawanan akhirnya berkesudahan seri 2-2.

***

BEGITULAH perjalanan karier bola sepak era Bakri Ibni. Entah bila lagi Malaysia dapat melakar nama di pentas Olimpik mahupun di Piala Dunia seperti mana era Bakri Ibni, James Wong, Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, mendiang R. Arumugam dan lain-lain lagi.
Kehebatan Bakri berserta teman-teman seperjuangannya pada era 70-an dan 80-an memang tidak tertanding, sehinggakan negara Jepun dan Korea Selatan yang sekarang ini menjadi pasukan rutin dalam Piala Dunia, dulunya menjadi ratahan skuad Malaysia.
Pada masa itu, pasukan bola sepak negara memperlihatkan satu peningkatan generasi pemain legenda, yang diketuai oleh penyerang kilat, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, pasangan pertahanan Santokh Singh dan Soh Chin Aun yang dulunya dikenali sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 70-an dan mendiang R. Arumugam yang digelar sebagai Spiderman kerana ketangkasannya menjaga gawang gol negara.
Pada sukan Olimpik tahun 1972, skuad negara kita terkenal dengan pemain ternama seperti Namat Abdullah dan Shaharuddin Abdullah, Wong Chun Wah,M.Chandran, wan Zawawi dan Wong Kee Kok.
Namun kini, kekuatan pasukan bola sepak negara kita telah merosot jauh, jatuh empat tahun ke belakang jika hendak dibandingkan dengan era 70-an dan 80-an dulu. Di dunia kedudukan ranking Malaysia adalah yang ke 155.
Kenapa jadi begitu, sedangkan pada era 70-an dulu pasukan negara kita bermain dalam serba kekurangan, tetapi mampu bermain dalam kelas dunia!
Baru-baru ini sekali lagi harapan kita untuk beraksi di persada Olimpik terserlah, namun masih juga kecundang. Skuad Harimau Muda masih tidak mampu menangkis serangan-serangan dari negara seperti Syria, Bahrain dan Jepun lantas melenyapkan impian kita melihat pasukan negara beraksi di Sukan Olimpik di London.
Jika diteliti, selepas 1980-an, pasukan bola sepak mula malap dan terus mengalami kejatuhan sehinggalah ke hari ini. Tidak tahulah apa puncanya? Di mana silapnya?
Walaupun kini Malaysia telah mencapat beberapa kemenangan seperti piala Suzuki AFF, pingat emas SEA Game, namun jika hendak dibandingkan pasukan yang ada sekarang dengan skuad era legenda dulu, masih banyak kelompangan dan ruang perbezaannya.
Bakri sendiri termenung apabila memikirkan senario yang berlaku dalam bola sepak negara sekarang. Memang Bakri teringin benar hendak melihat anak-anak muda negara kita dapat menjulang piala bola sepak bertaraf dunia.
Walaupun Bakri dan bekas pemain kebangsaan sudah tidak mampu melakukannya, namun jauh di sudut hatinya beliau masih menaruh harapan tinggi, generasi muda dapat meneruskan impian dan semangat Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik di Moscow 1980. Inilah dua detik bersejarah yang pernah melakar nama negara di peringkat dunia.
Impian Bakri, bukan sekadar menginginkan skuad negara menjulang piala bertaraf dunia, malah biarlah pasukan Malaysia tercatat sebagai sebuah pasukan elit di dunia setanding dengan negara penjajah yang pernah menakluki negara kita seperti Belanda, Portugal, Jepun dan England.
Jika hajat itu tercapai, Bakri boleh tersenyum puas melihat kejayaan pasukan Malaysia berdiri gagah di pentas dunia. Bagi Bakri, dia sudah merasai beraksi peringkat Olimpik, Piala Asia, Berley Cup dan Sukan ASEA.
Jadi sebagai langkah penyelesaian pembangunan bola sepak negara, renungkanlah pepatah yang diujarkan oleh Bakri Ibni ini.
“Kalau basikal rosak pergilah hantar ke bengkel basikal, kalau sakit pergilah berjumpa dengan doktor, tapi kalau masalah bola sepak, kepada siapa kita perlu berjumpa? Sudah tentulah kepada orang yang pakar dan berpengalaman dalam dunia bola sepak,” pesan Bakri Ibni.
Bakri yang memiliki kelayakan sijil diploma kejurulatihan dari England dan Jerman, dan juga mempunyai lesen kejurulatihan A  dengan AFF mengharapkan masih ada cahaya di hujung terowong buat Malaysia.
Mungkin banyak ilmu yang boleh Bakri Ibni curahkan untuk memajukan bola sepak negara. Gunakanlah segala kepakaran yang dimiliki Bakri untuk menghasilkan pemain yang hebat.
Kalau disia-siakan segala kepakaran yang dimiliki Bakri, rugilah negara. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya tidak malu untuk mendapatkan khidmat pemain veteran seperti Bakri Ibni demi kemajuan bola sepak negara.
Bakri sendiri tidak jemu-jemu mengabdikan dirinya terhadap dunia bola sepak sejak dulu sampai sekarang. Sekarang Bakri sudah mewujudkan Akademi Bola Sepak yang diberi nama Tunas Legenda bagi membantu melatih bakat-bakat muda semata-mata ingin melihat ranking dan mutu bola sepak negara melonjak semula di dunia.
Pada hemat Bakri Ibni, beliau optimis dalam tempoh enam hingga tujuh tahun saja negara boleh menghasilkan pemain-pemain yang matang tanpa sebarang masalah.
“Ini tak mustahil, buktinya saya sendiri hanya mengambil masa enam tahun saja, sudah dipilih mewakili skuad negara!” akui Bakri Ibni.
Bagi Bakri Ibni, negara memiliki banyak bakat muda yang boleh diasuh dan diasah bagi membentuk skuad pelapis kebangsaan yang kuat dan digeruni asalkan berusaha meningkatkan pembangunan bola sepak bermula dari kanak-kanak lagi.
Apa yang penting bagi Bakri pemain perlu matang dalam setiap aspek, sama ada dari segi teknik,skil, taktik, strategi dan kemahiran dalam membuat keputusan.
“Jika semua ramuan ini kita ada, insya-Allah bukan setakat Piala Olimpik kita tawan, malah Piala Dunia pun kita mampu bawa balik ke Malaysia!” ucap Bakri Ibni optimis.
Ya, Mastika sokong perjuangan Bakri Ibni. Hidup Malaysia! Harap-harap Malaysia terus menjadi pasukan terunggul di peringkat dunia, Asia dan ASEAN seperti impian Bakri Ibni.
Sokonglah pasukan Malaysia!

Dari Luar Kurungan Kucing Jalanan



SAYA berdiri di luar Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bunyi kucing mengiau-ngiau jelas kedengaran.
Dari luar kurungan itu saya lihat setiap sangkar diletakkan dua hingga tiga ekor kucing-kucing jalanan yang telah ditangkap sekitar bandar raya Kuala Lumpur, seminggu lalu.
Saya lihat kucing-kucing jalanan itu meronta-ronta meminta dilepaskan. Ada yang menggigit besi, memanjat dan menguit-nguit kaki dan tangan seolah-olah minta dikasihani.
Saya pandang ke arah seekor kucing yang berwarna kelabu yang asyik memerhatikan gerak-geri saya sedari tadi. Bulunya sungguh comel dan lembut.
Saya berasa hairan, kenapa orang sanggup membuang kucing yang comel dan jinak sebegini? Tidak berhati perutkah?
Wajah-wajah kucing yang merenung tajam ke arah saya seolah-olah meminta belas kasihan untuk dibebaskan amat mengharukan. Pusat ini ibarat destinasi terakhir sang kucing jalanan ini...
Ya, saya tidak sanggup memandang mata kucing yang bersinar jernih ini dan mengharapkan saya datang membelai, menepuk-nepuk dan mengusap-usap kepalanya.
Sayang sungguh! Sepatutnya kucing-kucing comel ini tidak seharusnya berada di dalam kurungan ini. Kehidupannya adalah bersama kita, manusia yang dianugerahkan akal fikiran. Kucing-kucing jalanan ini cuma ingin menumpang kehidupan kita.
Saya tertanya-tanya, apa kesalahan dan dosa kucing jalanan ini sehingga begitu banyak terpaksa ditangkap dan dikurung di sini?
Terdetik perasaan simpati mendalam dan kasihan dengan nasib-nasib si kucing yang comel ini. Sungguh sadis, apakah dosa-dosa kucing-kucing liar ini sehinggakan ada orang kita sanggup membuang dan menghumbannya ke pasar-pasar, tepi jalan, longkang dan tempat-tempat sunyi lain tanpa simpati?
Sudahlah banyak bayi-bayi tidak berdosa dibuang, kini kucing pula menjadi mangsa! Aduh! Sedih! Sedih!
Bayangkan selepas dibuang, pada waktu malam di manakah kucing comel ini hendak mencari tempat perlindungan dalam kesejukan?
Kalau hujan, bagaimana? Tentulah basah kuyup! Tanpa sedar, air mata saya bergenang.
Ya, saya sebak apabila memikirkan nasib kucing-kucing comel ini yang tidak dipedulikan orang lagi. Mahu tidak mahu, kucing-kucing jalanan ini terpaksa ditangkap dan dikurung supaya tidak mengotorkan tempat awam, menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan dek kelaparan.  
Maka tidak hairanlah ada antara kucing-kucing liar ini yang dibawa ke dalam kurungan ini hidup penuh dengan kekotoran dikerumuni oleh lalat-lalat sehinggakan ada yang terkena penyakit kurap.
Saya tertanya-tanya sendirian, di manakah nilai kemanusiaan kita ini yang hidup di rumah banglo serba mewah, kereta mewah dan dunia siber yang serba canggih ini? Kita sudah hilang kewarasan dan sifat berperikemanusiaankah?
Hampir sejam berlalu. Saya terus berdiri di luar kurungan memerhatikan nasib kucing-kucing comel ini dengan dada penuh sebak. Saya tertanya-tanya, masihkah ada sinar harapan untuk kucing-kucing jalanan ini?

TENGAH hari itu, saya lihat beberapa orang pekerja India baru saja selesai mencuci najis setiap kurungan. Saya juga melihat bekas-bekas makanan sudah terisi untuk santapan kucing-kucing liar ini.
Nah! Kini saya lihat kucing-kucing liar ini berebut melahap makanan. Dalam sekelip mata, kucing-kucing ini menghabiskan makanan yang diisi. Ya, kucing-kucing ini kelaparan!
Selesai makan, saya lihat kucing-kucing jalanan ini menjilat bulu, kaki dan tangan merapi diri masing-masing. Ya, kucing ini sihat sementara berada di sini. Tapi selepas ini apakah nasib kucing-kucing comel ini?
Saya mendapat tahu pekerja-pekerja di situ akan memberi makan kepada kucing-kucing jalanan itu sebanyak dua kali sehari, pagi dan petang.
Setahu saya, kucing-kucing jalanan ini akan dikurung di situ hanya dalam tempoh seminggu sahaja. Dalam tempoh itu juga, pihak DBKL akan uar-uarkan kepada orang ramai yang berminat dalam web di Internet supaya datang membelinya di Pusat Kurungan Haiwan DBKL dengan harga RM15 seekor.
Saya diberitahu Chandarakant Pathi, Ketua Seksyen Kawalan Pest Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL,  harga tersebut dianggap munasabah dan berpatutan bagi menampung kos makanan dan rawatan.
Pihak DBKL tidak mahu memberi kucing liar itu secara percuma kepada orang ramai bimbang ada pihak yang tidak menghargainya.
“Lagipun, kalau diberikan secara percuma mungkin orang akan melepaskan kucing itu balik!” jelas Chandarakant Pathi lagi.
Selepas seminggu, jika tiada sesiapa yang datang membeli, pihak DBKL akan melupuskan dengan cara menyuntik racun pentobarbital.
Saya tidak dapat bayangkan, apabila  kucing-kucing comel ini yang tidak ada pembelinya dibawa ke katil PVC hitam. Seorang doktor haiwan tanpa berlengah memasukkan cecair pentobarbital ke dalam jarum suntikan.
“Sruuuuupppp...” jarum suntikan itu ditusuk ke bahagian kaki hadapan kucing itu. Seekor demi seekor kucing-kucing dikeluarkan dari sangkar dan disuntik. Gelagat riang dan lincah kucing-kucing sebelum ini mula menghilang.
“Miowww...” itulah ngiauan terakhir setelah jarum ditusuk ke bahagian badan kucing comel itu.
Ngiauan terakhir kucing comel itu seakan-akan mengucapkan selamat tinggal kepada pekerja-pekerja di Pusat Kurungan Haiwan DBKL yang selama ini menjaga dan memberi makan secara percuma kepadanya.
Badan kucing-kucing yang telah disuntik cecair ‘pentobarbital’ mula kelihatan lemah. Selang beberapa saat matanya yang dulunya bersinar kini semakin terpejam.
Gerak badan kucing comel itu sudah mula lemah dan tidak bergerak langsung. Nyawa kucing comel itu sudah berakhir. Kesan ubat yang ditusukkan ke dalam badannya sungguh kuat, dalam masa beberapa saat sahaja membawa maut.
Kini nasib kucing-kucing jalanan yang berada dalam kurungan di hadapan saya bakal mengalami nasib yang sama selepas seminggu berada di sini, jika tidak dibeli orang.
Jasad kucing-kucing jalanan ini akan ditanam di suatu kawasan yang dikhaskan berhampiran pusat kurungan berkenaan. Begitulah nasib si kucing jalanan...
Sedih sungguh bila memikirkan kucing-kucing itu terpaksa disuntik dan dibunuh disebabkan tiada sesiapa hendak membeli dan membelanya.
Tambah sedih... mengapa bangsa kita yang terkenal dengan sifat pemurah dan penyayang tidak lagi sayang kepada kucing, binatang yang menjadi kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. 
Ayuh... di manakah semangat pencinta haiwan, pembela binatang dan orang yang kononnya sayangkan kucing? Ke manakah perginya orang-orang kita yang dikenali ramai dengan sifat yang baik hati, penyayang dan pemurah yang selalu diuar-uarkan selama ini?
Mana Datuk, Tan Sri, VVIP atau Yang Berhormat yang suka menderma dan gambar terpampang di dada-dada akhbar. Kenapa tiada sesiapa yang sudi menyelamatkan kucing-kucing jalanan ini?
Kalau betul sayangkan kucing, marilah beramai-ramai datang beli kucing-kucing jalanan ini. Mungkin juga ada orang kaya, jutawan, VVIP, Datuk, Tan Sri atau dermawan yang bersifat pemurah sanggup membina ‘Laman Kucing’ ataupun pusat penjagaan kucing-kucing jalanan di luar sana.
Opps terlupa! Jika DBKL boleh bina taman burung, taman rama-rama dan bermacam-macam jenis taman lagi apa salahnya wujudkan pula taman-taman kucing.
Hah! Molek sungguh, kalau sebuah taman kucing diwujudkan di negara kita. Mastika rasa tentu ramai yang berminat untuk melihat dan menatap pelbagai jenis kucing yang dilepas bebas menempatkan segala spesies kucing di seluruh dunia termasuk kucing-kucing jalanan yang menanti maut tadi.
Apa kata pembaca semua? Setuju? Marilah kita selamatkan kucing binatang kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.

NOTA: Kepada pencinta-pencinta kucing yang berminat untuk membeli kucing-kucing jalanan ini boleh datang sendiri ke Pusat Kurungan Haiwan DBKL yang terletak di Jalan Air Jernih off Jalan Genting Klang, 53000 Setapak, Kuala Lumpur atau layari http://www.dbkl.gov.my.
Harap-harap adalah manusia budiman yang tampil bekerjasama untuk menyelamatkan masa depan kucing-kucing jalanan ini! Amin.